Guru adalah insan yang tugasnya menta’dibkan manusia.
Namun guru perlu terlebih dahulu menghiasi diri dengan
adab sebagaimana Rasulullah SAW perintahkan kepada
ummatnya.
(Keterangan foto, dari kanan)Shaykh Abd Fattah Abu
Ghuddah, Shaykh Abdullah al-Ghumari, Shaykh
Muhammad Yasin al-Fadani, Shaykh Ismaeel Zayn, Shaykh
Hasan al-Saqqaf and Shaykh Ibrahim al-Khalifah al-Ahsai
Saya lupa ambil daripada mana bahan di bawah ini, yang
berkaitan dengan adab seorang guru. Artikel adalah
terjemahan daripada tulisan Syeikhul Islam Syeikh al
Ghazali rahimahu Llah.
Berkata Imam Al-Ghazali:
“Jika engkau seorang guru maka hendaklah engkau
jaga adab-adab ini:
1- Ihtimal (banyak sabar menanggung kesusahan).
2- Lambat marah.
3- Duduk dengan hebat atas kelakuan yang tetap serta
menundukkan kepala.
4- Meninggalkan takabbur atas sekelian hamba Allah Taala
kecuali terhadap orang yang zalim kerana menegahkan
daripada kezalimannya.
5- Memilih tawadhuk yakni merendahkan diri pada
perhimpunan orang ramai dan pada majlis orang ramai.
6- Meninggalkan bergurau-gurau dan bermain-main.
7- Kasih sayang dengan murid dan lemah lembut dengan
yang kurang pandai.
8- Membimbing murid yang bebal.
9- Tidak memarahi murid yang bodoh.
10- Tidak malu daripada berkata ‘Aku tidak tahu’ (bagi
masalah yang tidak diketahuinya).
11- Memberikan perhatian kepada murid yang bertanya dan
cuba memahami soalannya dengan baik.
12- Menerima hujah atau dalil yang dihadapkan kepadanya.
13- Tunduk kepada kebenaran dengan kembali kepadanya
ketika ia tersalah.
14- Melarang murid daripada ilmu yang boleh
memudaratkan.
15- Melarang murid daripada menghendaki yang lain
daripada Allah dengan ilmunya.
16- Melarang murid daripada menuntut ilmu yang fardhu
kifayah sebelum selesai daripada menuntut ilmu yang
fardhu ain, dan ilmu yang fardhu ain itu ialah ilmu yang
berkenaan dengan membaikkan zahir dan batinnya dengan
taqwa.
17- Memperbaiki diri sendiri dengan taqwa sebelum ia
menyuruh orang lain, supaya muridnya dapat mencontohi
amalannya dan mengambil manfaat daripada
percakapannya (ilmunya).
Lihat: Al-Ghazali, Abu Hamid (505H), Bidayatul Hidayah
(diterjemahkan oleh: Ahmad Fahmi Zamzam), m/s 155-157,
Kedah: Al-Khazanah Al-Banjariyah (edisi Jawi, Oktober
1993).
*Guru yang amanah dan beradab adalah juara perubahan
(peringatan untuk diri sendiri).





