Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
Sebahagian daripada tanda baiknya (kualiti) keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah, Ahmad dan Baihaqi)
Hadis ini juga diriwayatkan oleh Qurrah bin Abdurrahman, daripada Zuhri, daripada Abu Salamah, daripada Abu Hurairah dan sanad-sanadnya dinyatakan sebagai sahih. Qurrah menyebut tentang hadis ini bahawa “hadis ini kalimahnya pendek tetapi padat berisi dengan mesej yang dibawa”.
Mesej hadis ini sungguh mudah tapi berat. Tanda baiknya islam seseorang itu, apabila dia meninggalkan perkara yang tidak bermakna baginya. Sungguh, hadis ini memang ‘simple’ dan mudah diingat. Namun, pelaksanaannya tidak semudah ungkapannya kecuali bagi orang yang benar-benar bermujahadah.
Dalam menjalani kehidupan seharian, setahun yang diberkati tentunya berbeza dengan setahun yang tidak diberkati. Begitu juga sehari yang tidak diberkati berbeza dengan sehari yang diberkati. Malah, seminit yang diberkati berbeza dengan seminit yang tidak diberkati. Contoh ini ditunjukkan secara tidak langsung oleh salah seorang ulama’ terdahulu, Imam Nawawi yang meninggal ketika usianya berada dalam lingkungan 40-an. Sungguh, umurnya singkat tetapi beliau berupaya menghasilkan kitab yang sangat banyak..yang berjasa kepada umat sehingga kini. Begitulah nikmatnya masa yang diberkati.
Imam Malik juga ada menyebut dalam kitabnya al-Muwatta’ bahawa seseorang bertanya kepada Luqman al-Hakim:
Apakah yang menyebabkan engkau mencapai darjat yang kami saksikan sekarang? Jawabnya: “Berkata benar, menunaikan amanah dan meninggalkan apa sahaja yang tidak bermanfaat bagi diriku”.
Begitulah sikap seorang insan yang dimuliakan oleh Allah sehingga kisahnya tercatat di dalam al-Quran. Luqman al-Hakim bukanlah siapa-siapa dalam kalangan manusia, dia bukan seorang raja mahupun seorang nabi. Mengikut pendapat yang paling kuat yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas, Luqman hanya seorang hamba abdi yang berkerja sebagai tukang kayu untuk majikannya. Namun, dia diberi hikmah dan kebijaksanaan oleh Allah tetapi tidak diberi kepadanya kenabian. Sungguh, mulianya seseorang di sisi Allah bukan kerana pekerjaan atau pangkatnya di dunia, tetapi sejauh mana ketakwaannya kepada Allah. Allah jualah yang menilai!
Memang benar, setiap orang berhak memiliki pandangan yang berbeza tentang bagaimana mereka mahu memaknakan kehidupan ini. Namun, sudut pandang yang benar tentang kehidupan dan menepati kehendak ar-Rahman adalah kehidupan ini tidak lain hanyalah satu pengabdian kepada-Nya. Keadaan inilah yang memudahkannya untuk menerima sebarang pertanggungjawaban baik ia berupa perintah yang wajib dilaksanakan, mahupun larangan yang mesti dijauhkan.
Dia tidak terbeban ketika Allah mewajibkan ke atas hamba-hamba-Nya untuk melaksanakan syariat. Malah, ketika mana Allah memerintahkan agar menjauhkan diri daripada larangan-Nya, walaupun perkara tersebut sangat diinginkan oleh nafsunya yang membara, dia berusaha untuk menjauhkan diri bahkan tidak sanggup untuk menghampirinya sama sekali. Begitulah jiwa seorang hamba.
Akhirnya, hayatilah firman Allah dalam surah al-Asr:
Demi masa. Sungguh manusia itu berada di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan menjalankan kebajikan serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran.
Semoga setiap masa yang dilalui selepas ini dipenuhi dengan perkara-perkara yang bermaka dalam rangka memaknakan kehidupan. Ya Allah, berkatilah masa kami..~